Orang Perak Latih Orang UK
27 Disember 2017

photo_2017-12-27_12-34-24.jpg

Ahmad Nizam Yusof, 37, telah berjaya melahirkan kira-kira 25,000 pemain hoki pelbagai peringkat usia sepanjang tempoh beliau menetap di United Kingdom. 

Nizam yang sudah 13 tahun menjadi jurulatih kelab hoki terkenal Uddingston Hockey Club, di daerah South Lanarkshire, Scotland berhijrah ke negara itu selepas mendapat tawaran sebagai pengurus Teknologi Maklumat sebelum melatih enam remaja sebagai permulaan. 

“Sebaik tamat waktu pejabat pada jam 5 petang, saya ke padang dan menghabiskan masa sehingga 10 malam. Disebabkan masih bujang dan tiada komitmen lain, itulah rutin harian saya termasuk pada Sabtu dan Ahad.

“Seronok menjadi pembimbing dan berkongsi pengalaman dalam sukan hoki bersama pemain berusia antara 4 hingga 20 tahun. Selain itu, ada juga orang dewasa hingga peringkat warga emas datang belajar dengan saya.

“Pemain paling tua saya pernah latih adalah seorang yang berusia 93 tahun. Dia menceburkan diri dalam sukan ini hanya untuk suka-suka, sambil belajar perkara baru dan menjaga kesihatannya.”

Anak keempat daripada lapan beradik berasal dari Trolak, Perak ini berkata, pengalamannya sebagai bekas pemain hoki sebuah kelab di Johor dimanfaatkan untuk melahirkan ramai pelapis muda. 

Walaupun berada di negara asing, beliau tetap teruja kerana dapat mengenali dan bergaul dengan pelajar dari sekolah rendah dan menengah, penuntut institusi pengajian tinggi, golongan profesional, pesara mahupun anggota keselamatan. 

“Biasanya jadual saya penuh dengan aktiviti hoki termasuk melatih pemain di bawah 12, 14 dan 16 tahun selain pasukan utama kelab mengikut keperluan. Paling membanggakan saya apabila berjaya meletakkan kelab terbabit dalam liga divisyen satu. Malah ada antara pemain terbabit dipilih mewakili UK di peringkat antarabangsa."

Meskipun begitu, semangat cintakan tanah air pemuda ini masih menebal. Justeru, graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini berharap beliau dapat membantu menjulang sukan hoki Malaysia ke persada antarabangsa suatu hari nanti.

“Jika ada peluang saya berazam untuk mengetengahkan lebih ramai bakat tempatan untuk beraksi dalam liga di Scotland dan UK.”