#LensaNegaraku: Kamarulzaman
26 Januari 2018

“Makanan laut di Sandakan sedap, segar dan murah!”

Kamarulzaman Ali atau lebih dikenali dengan gelaran Z.Own berkesempatan untuk ke daerah kedua terbesar di Sabah iaitu Sandakan bagi meneruskan pengembaraan #LensaNegaraku seperti rakan-rakan media sosial lain.

Sepanjang 5 hari 4 malam ke timur Sabah, beliau memilih untuk ke Pusat Perlindungan Orang Utan Sepilok, Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary, Gua Gomantong, Batu Sapi serta ke sekitar bandar Sandakan. 

“Perjalanan dari satu destinasi ke destinasi tu agak jauh. Antara sejam ke dua jam tempoh perjalanan. Tapi sekurang-kurangnya saya dapat tengok tempat-tempat menarik yang jarang dikunjungi orang lain terutama orang dari Semenanjung,” katanya. 

“Tapi sewaktu di Sepilok, saya dan kumpulan pelancong diberi amaran oleh petugas di sana untuk berjaga-jaga sebab salah seekor orang utan bernama ‘Ceria’ dikatakan agak agresif. Menurut mereka, sudah banyak kisah pelancong dikatakan diserang olehnya. Takut juga saya. 

“Sayangnya, waktu tu musim buah-buahan jadi tak banyak orang utan yang keluar mengambil makanan yang disediakan berhampiran tempat pelancong berkumpul,” jelas Z.Own yang suka mengambil gambar subjek berlatarbelakangkan alam semula jadi.

Peluang melihat kehidupan masyarakat Sandakan yang berbilang kaum dan etnik tanpa mengira agama juga menjadikan pengalamannya ke Negeri Di Bawah Bayu itu sangat istimewa.

“Saya berdepan masalah untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan, mungkin sebab perbezaan dialek dan loghat kami. Tapi, mereka sangat membantu, mesra dan peramah. Mereka juga banyak menasihatkan saya untuk berhati-hati sebab katanya masih ada lanun di sekitar sini!”

Selain itu, Z.Own juga gemar mengambil gambar potret dan bercerita mengenai perjalanannya dalam bentuk foto. Jadi, peluang untuk mempromosikan tanah air menerusi #LensaNegaraku adalah sesuatu yang sangat beliau nantikan. 

“Jika ke Sandakan, jangan lepaskan peluang untuk ke Gua Gomantong. Kita boleh tengok pusat penuaian sarang burung layang-layang yang besar di situ. Memang unik sebab saya tak pernah tengok sesuatu seperti itu. Cuma perlu berhati-hati sebab trek agak licin dan lantai juga dipenuhi lipas.”

Jika anda ingin melihat hasil karya Z.Own, layari https://www.instagram.com/1malaysia_official/.