#LensaNegaraku: Adly Aizad
10 Januari 2018

Adly Aizad.JPG

“Sejujurnya gambar berunsur pengembaraan adalah keistimewaan saya. Dengan berkunjung ke tempat-tempat baru ini, ia memberikan saya lebih banyak idea untuk mengambil gambar. 

“Tak kira gambar berbentuk lanskap, potret, seni bina atau apa sahaja yang menarik di mata saya.”

Adly Aizad yang pertama kali berkolaborasi bersama 1Malaysia.com.my berkata, perjumpaannya bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan rakan-rakan media sosial lain merupakan titik permulaan untuk beliau mengembangkan minat fotografi yang bermula sejak 2012.

“Saya suka gambar yang bersih, iaitu di mana tidak banyak elemen lain berada dalam satu-satu gambar. Saya akan cuba fokus kepada sebuah elemen saja supaya penceritaan saya menerusi gambar lebih jelas.”

Mengimbas kembali perbualannya bersama Perdana Menteri, beliau mengakui sebelum ini ada banyak batas dan kekangan untuk mereka berkongsi karya bersama masyarakat. Jadi, apabila diberi peluang untuk menyumbang kepada negara menerusi #LensaNegaraku, Adly tidak berfikir panjang dan terus menerima tawaran itu dengan tangan terbuka. 

Adly yang juga pemenang pertandingan Air Asia Asean Traveler 2015 di bawah kategori Artis Instagram, terpilih untuk ke Terengganu bagi merakamkan keunikan negeri Permata Pantai Timur itu.

Walaupun berdepan cabaran dengan keadaan cuaca buruk sepanjang di sana, beliau menganggap pengalamannya bersama rakan-rakan ke sana sangat menyeronokkan. 

“Maklumat yang ada di Internet sangat sedikit. Malah, waktu di sana saya juga menggunakan aplikasi sistem pengesan global (GPS) tapi ia kurang tepat kerana ia hanya membantu kami mencari tempat popular sahaja.

“Jadi, kami perlu bertanya dan bekerjasama dengan masyarakat setempat. Mereka sangat peramah dan sudi menolong lebih-lebih lagi bila tahu kami ingin berjalan-jalan dan meneroka kawasan sekitar.

Dengan bantuan rakyat Terengganu, usaha kami untuk mendapatkan cerita dan sejarah unik di beberapa lokasi menarik di sana akhirnya berjaya diterjemahkan menerusi semua gambar-gambar ini."

Beliau berharap perkongsiannya dapat membuka mata dan minda rakyat mengenai betapa bertuahnya untuk menjadi seorang rakyat Malaysia.