Juruterbang Helikopter Wanita Pertama
23 Januari 2018

photo_2018-01-23_11-27-47_0.jpg

Sejak kecil Leftenan Kolonel Norhana Abd Manaf ingin menjadi seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Lebih-lebih lagi, apabila beliau membesar berdekatan Pusat Latihan Belia Dusun Tua, Hulu Langat, lokasi pasukan tentera udara menjalani latihan.

Ditambah pula dengan latar belakang bapanya yang pernah berkhidmat dengan Tentera British, Norhana bertekad untuk berjaya dalam profesion itu. 

"Lantas saya mencabar kemampuan diri memohon memasuki Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi Skim Pegawai Graduan kira-kira 23 tahun lalu sekali gus menjadi titik tolak memasuki pasukan sehingga kini.

"Saya adalah kumpulan ketiga juruterbang wanita yang memasuki TUDM pada 1995, mengikuti latihan asas ketenteraan enam bulan iaitu proses asas kemasukan dalam perkhidmatan tentera," katanya.

Lebih manis, Pegawai Staf Gred Satu Rancang Pegawai, Markas Tentera Udara TUDM ini diiktiraf sebagai juruterbang helikopter wanita pertama di negara ini.

Pencapaian itu juga sekali gus melakar pencapaian membanggakan Norhana sebagai Instruktor Helikopter Berkelayakan (QHI).

Norhana yang ditemui di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur oleh Berita Harian baru-baru ini berkata, wanita diberi peluang adil menjadi sebahagian juruterbang di dalam TUDM.

"Pada ketika itu, sesi pengambilannya membabitkan banyak proses dan temu duga, latihan fizikal, pemeriksaan perubatan yang menyeluruh, ujian kecenderungan udara (aptitud) selepas berjaya, baru boleh memasuki bidang penerbangan," katanya yang menyertai TUDM pada 10 Januari 1995.

"Selain sebagai jurulatih penerbangan iaitu QHI yang ditauliahkan pada 2008, bidang tugas saya turut berkaitan audit membabitkan semua pangkalan TUDM di seluruh negara.

"Bidang ini juga menjadikan saya lebih versatil termasuk diberi kepercayaan mengulas pertunjukan udara di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 dan acara di negara lain," katanya.

Meskipun tidak bertugas lagi sebagai seorang juruterbang, beliau kini menggalas tanggungjawab melatih juruterbang di samping bidang tugasnya yang tertumpu kepada peringkat pengurusan iaitu taktikal, operasi dan strategik.

Beliau mengikuti kursus penerbangan di Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas, Alor Setar, Kedah dan menerima sayap penerbangan dari pusat latihan berkenaan selepas menerbangkan pesawat Helikopter Aloutte III selama 54 jam.

Seterusnya, Norhana menjalani latihan penerbangan simulator di Norway dan United Kingdom (UK). Norhana memperoleh pengalaman dengan menerbangkan helikopter Aloutte III pada 1997 dan kemudian beralih kepada helikopter Nuri.

"Dua tahun bertugas sebagai juruterbang, helikopter yang membawa doktor udara mengalami kerosakan di kampung Orang Asli, disebabkan itu saya perlu bermalam sementara menunggu peralatan gantian membaik pulih tiba.

"Pengalaman sebegitu menguatkan semangat untuk memberikan yang terbaik, kerana apapun cabaran, ia adalah pada diri sendiri dan faktor itu juga meletakkan kita seiring lelaki," katanya.

Menceritakan pengalamannya sebagai juruterbang, peranan itu termasuk penerbangan ihsan membawa pesakit dari kawasan pedalaman yang juga adalah penugasan membabitkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), orang asli dan penerbangan membawa orang kenamaan.

"Jarak dan masa penerbangan, kerjasama dengan anak kapal dan keadaan cuaca memainkan peranan penting. Jika berdepan cuaca buruk, kita perlu mematuhi pelan alternatif mengelak perkara tidak diingini berlaku.

"Ketika latihan dan persiapan diri sebelum membuat penerbangan sulung, saya mengikuti latihan dan ujian selama enam bulan sebelum diberi kelulusan menerbangkan pesawat atau helikopter.

"Di sinilah, kekuatan mental dan fizikal serta kecekalan juruterbang teruji dalam menghadapi segala cabaran," katanya.

Malah, persiapan operasi dan diri juga haruslah mempunyai kesinambungan kerana juruterbang perlu tahu mengenai penyelenggaraan pesawat dan mesti diperiksa sendiri.

Biarpun ramai yang meluahkan perasaan bimbang risiko kerjayanya, namun beliau menjadikan setiap teguran dan nasihat itu sebagai pembakar semangat untuknya meneruskan kerjaya.

"Paling penting kita melakukan yang terbaik, yakin kemampuan diri dan status wanita bukan penghalang dan perlu bekerja lebih keras untuk setara dengan rakan setugas lelaki," katanya.