Junaidah Jusoh
11 September 2017

"Terbayang kenangan sambutan kemerdekaan setiap tahun yang mana kampung di sekitar Tumpat, Kelantan penuh dengan pelbagai hiasan termasuk replika yang diperbuat daripada bahan kitar semula. Antara yang masih kuat di ingatan adalah hiasan kapal terbang yang dibentuk daripada besi dan didekorasi menggunakan warna dan Jalur Gemilang. Setiap kali sambutan merdeka saya memang ambil kesempatan untuk bersiar-siar melihat kreativiti masyarakat setempat. Walaupun sambutannya tidak semeriah di bandar besar, tetapi hiasan dan hasil penat lelah orang kampung ini adalah medium untuk mereka tunjukkan semangat cintakan tanah air.

Saya bangga sebagai anak Kelantan kerana keharmonian yang dicapai oleh negara kita pada detik kemerdekaan 1957 dan penyatuan sebagai sebuah negara pada 1963. Walaupun berlainan adat resam, kita masih boleh berdiri di bawah satu payung dan terus membentuk entiti yang bekerjasama. "

Junaidah Jusoh