Gadis Muslim Dan Tarian Singa
21 Februari 2018

Mariam-Abdul-Nazar.jpg

Meskipun pada peringkat awal hasratnya ditentang oleh keluarga dan rakan-rakan, namun gadis Melayu yang fasih berbahasa Mandarin ini tetap bertegas ingin menyertai kumpulan tarian singa. 

"Mereka rasa, sebagai seorang Muslim saya tak sesuai menyertai tarian singa. Sedangkan saya menganggapnya sebagai satu bentuk sukan," jelas Mariam Abdul Nazar dalam wawancaranya bersama StarTV. 

Gadis berusia 21 tahun ini terpaksa menerangkan kepada mereka bahawa kumpulan tarian singa tersebut sering membuat persembahan dan selalu menyertai pelbagai pertandingan. 

Barulah akhirnya mereka dapat menerima minatnya untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan itu. 

Menurut Mariam, beliau telah menjadi pemain dram kumpulan itu sejak lapan tahun lalu dan secara tak langsung membolehkannya mempelajari bahasa Mandarin. 

"Sebab itu saya mampu bertutur dalam bahasa Mandarin dengan baik. Saya bukan sahaja dapat berlatih tetapi juga dapat berkomunikasi dengan mereka," katanya. 

Bagi Mariam, dia menyertai kumpulan ini kerana ia bukan sahaja kelihatan hebat dan menarik. Tetapi juga membuatkan dirinya gembira dan sekaligus mengurangkan tekanan. 

Sewaktu kali pertama bermain untuk persembahan tarian singa, dia mengakui agak gementar dan takut jika membuat kesilapan. 

Namun lama-kelamaan, dia semakin yakin dan mahir. Malah penonton juga ramai yang terkejut dan kagum dengan bakat gadis berdarah campuran Melayu-India ini. 

"Saya rasa bangga dan seronok kerana membawa imej sebagai seorang rakyat 1Malaysia."