Gadis Kudung Jejak Menara Gading
26 March 2018

 

Nur Adila Ghazali, 20, mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya pelajar tanpa tangan dan kaki berdaftar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah.

Dia yang sejak kecil tidak mempunyai tangan dan kaki membuktikan ujian ke atas dirinya bukan penghalang untuk dia menjejakkan kaki ke menara gading.

Menurut ibunya, Hasnah Zakaria, 49, dia bersyukur apabila percubaan ketiga anaknya membuat permohonan melanjutkan pelajaran, diterima.

Jelas Hasnah, anak bongsunya itu pernah ditawarkan masuk ke institut pengajian tinggi di luar daerah namun disebabkan faktor jarak dan kemudahan, dia terpaksa menolak tawaran itu.

“Saya gembira bagi pihak dia sebab dia kata nak mengaji, dua tahun dah dok tunggu, tiga kali mohon. Alhamdulillah kali ketiga dapat,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, meskipun gembira dapat melanjutkan pengajian, gadis istimewa itu bagaimanapun meluahkan perasaan bimbang dengan suasana baharu yang perlu diikuti setelah bergelar penuntut.

“Bimbang juga nak pergi ke kelas, jumpa kawan-kawan dan ke kuliah tapi saya akan cuba biasakan diri sebab saya tahu ramai yang sokong saya terutama mak, ayah saya, cikgu PDK saya, kawan dan adik-beradik semua.

“Saya janji akan belajar sungguh-sungguh,” katanya sambil senyuman.

Sementara itu, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Kedah, Profesor Madya Dr Mahazir Ismail berkata, UiTM telah biasa menerima pelajar berstatus OKU malah pada setiap semester, ada OKU berdaftar untuk berlainan kursus.

“Pada waktu ini, kita mempunyai dua OKU kerdil di mana seorang pelajar berada di semester kedua Diploma Sains Komputer dan seorang lagi mengikuti pengajian Diploma Seni Lukis dan Seni Reka,” katanya.

Menurutnya, kemudahan yang disediakan oleh pihak kolej dan kampus akan disesuaikan mengikut keselesaan OKU terbabit malah pasukan perubatan UiTM juga bersedia memberikan perkhidmatan sekiranya ada yang memerlukan bantuan.