Dr Amani: Wanita Malaysia Di NASA
23 Februari 2018

Amani NASA.jpg

"Kita perlu sanggup bermula dari bawah." 

Itu nasihat bekas ketua projek NASA (National Aeronautics and Space Administration) pertama dari Malaysia, Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim kepada anak muda yang bercita-cita tinggi.

Tekad untuk meninggalkan kampung halaman di Gelugor, Pulau Pinang, Dr Amani berhijrah ke Amerika Syarikat bagi mendalami bidang sains dan teknologi pada usia 18 tahun dengan mula bekerja sebagai pencuci kanta di sebuah makmal sains.

"Dalam Islam kita percaya, seseorang yang bermusafir mempunyai keberkatan.

“Kita jangan memandang rendah terhadap diri sendiri jika bermula dari bawah kerana daripada situ, kita mampu melangkah lebih jauh," jelasnya.

Bercerita mengenai latar belakangnya, menurut Dr. Amani, beliau bukanlah pelajar yang cemerlang tetapi impian untuk belajar di luar negara menyebabkan beliau mencari biasiswa sendiri.

“Minat sahaja tidak cukup untuk menempuh cabaran bagi menyambung pendidikan ke peringkat tinggi, keterpaksaan dan keperluan untuk menghabiskannya juga perlu seiring agar matlamat itu boleh dicapai dengan sempurna,” katanya.

Selepas memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains dan Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di University of Minnesota Twin Cities serta Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang BioMEMS dan Mikroelektronik, beliau menjadi ahli akademik Purdue University sebelum dilantik sebagai Ketua Projek SporeSat pada tahun 2014.

Latar belakangnya dalam bidang kejuruteraan elektrik, kejuruteraan bioperubatan dan kejuruteraan biologi dengan pelbagai disiplin cemerlang serta keupayaan bekerja dalam pelbagai bidang lain bersama NASA sebelum itu menyebabkannya terpilih untuk projek SporeSat. 

“Ramai orang melihat kejayaan saya sebagai ketua projek di NASA tetapi ramai tidak tahu kesabaran dan jalan yang perlu ditempuh sebelum mendapat jawatan tersebut.

"Kami mengambil masa tiga tahun hanya untuk menyelesaikan masalah dalam sesuatu bidang membabitkan sains.

“Bukan itu saja, kemahiran berkomunikasi antara penyelidik dan masyarakat juga penting dalam menyampaikan sesuatu maklumat menggunakan cara mudah supaya dapat meningkatkan minat masyarakat dalam bidang sains," menurut anak kepada Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor ini.

Sebagai ahli teknologi, Dr. Amani berusaha mencipta sesuatu yang dekat dengan masyarakat.

“Sebab itu kita bukan hanya memerlukan saintis tetapi pakar-pakar dalam bidang lain untuk membantu,” katanya.

Tambahnya, sifat utama yang perlu ada dalam diri seseorang terutama sekali kepada mereka yang bercita-cita mahu menjadi seorang saintis ialah ‘minat yang sangat mendalam’.

“Kita perlu ada rasa minat terhadap sesuatu. Jika tiada minat, kalau benda yang dilakukan itu sukar, kita akan gagal."

Dr. Amani sudah menimba pengalaman lebih satu dekad bersama NASA di Amerika Syarikat sebelum pulang ke Malaysia, dan kini lebih cenderung ke arah penyelidikan saintifik yang membantu masyarakat.

“Kita kena bekerjasama dengan semua pihak daripada pelbagai bidang penyelidikan. Tidak boleh lagi selesa dalam kelompok dan bidang sendiri.”

Beliau kini menyandang jawatan sebagai Penyelidik Bioteknologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merangkap Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UIAM.