banner-CM.jpg

September 7th, 2016

Semasa saya memulakan perjalanan untuk mengembara sejauh 11,000 km merentasi London ke Malaysia, ramai orang menganggap saya boleh melakukannya tanpa bersusah-payah kerana saya seorang atlet. Tidak, itu semua tak benar. Sepanjang perjalanan itu, saya berbasikal sejauh 100 km setiap hari merentasi padang pasir, salji dan hutan. Dan itu membuatkan ramai yang kagum dan ingin tahu mengenai perjalanan saya.

Saya berbasikal untuk mengenali dunia. Belajar kehidupan orang lain di kawasan kampung atau bandar di negara-negara lain. Ada orang mungkin berimpian untuk merantau ke London, Paris dan Amerika Syarikat untuk melihat apa ada di sana. Tapi saya dah mencapai impian itu hasil berbasikal juga. Jadi apa lagi yang saya mahukan?

Saya berbasikal dari London hingga ke Malaysia bukan untuk mengembara semata-mata, tapi saya ingin membawa nama Malaysia ke seluruh dunia. Sepanjang perjalanan, saya ditanya berasal dari mana.

“Malaysia.”

“Where is Malaysia?”

“Do you know Singapore?”

“Yes.”

“Do you know Thailand?”

“Yes.”

“Malaysia is in between them.”

Selalunya bila sebut nama Singapura dan Thailand, semua orang pasti kenal negara-negara tu terletak di mana. Jadi biarlah saya mempromosi Malaysia pula. Biar satu dunia tahu orang Malaysia juga adalah pengembara; mengembara untuk tujuan mencari ilmu.

Lebih membanggakan, waktu saya lalu di Turki semua orang menjadi bersemangat bila saya katakan saya dari Malaysia. Tanpa sedar, nama Malaysia sudah gah di mata dunia sebenarnya. Dan kita harus berbangga dengan pencapaian kita. Cuma ia perlu dicanangkan untuk mereka cakna tentang kita.

 

Share in: