Berpuasa sejak umur 16 tahun
20 Jun 2016

Saya mula berpuasa kira-kira 16 tahun lalu. Ketika itu, saya baru berumur 16 tahun dan bekerja sambilan di sebuah butik pengantin di Parit Buntar, Perak.

Di situ, pemilik kedai sentiasa menyediakan makanan bagi sarapan dan juga makan tengahari. Setiap bulan Ramadan pula, ianya akan dialih kepada penyediaan juadah berbuka puasa. Kebetulan, ketika saya mula bekerja ianya minggu akhir Ramadan. Disebabkan kesibukan bekerja, saya tidak sempat makan tengahari kerana sibuk bekerja di luar. Jadi, pengalaman pertama berpuasa saya bermula di situ. 

Begitulah kelazimannya saban tahun sehinggalah saya berusia 20 tahun. Jumlah hari saya berpuasa semakin meningkat setiap tahun, daripada satu minggu kepada lebih tiga minggu.

Apabila saya menyambung pengajian di Institut Media Integratif Malaysia (MIIM), saya berpeluang melengkapkan jumlah hari berpuasa selama 30 hari. Ia atas sokongan dan galakan rakan serumah berbangsa Melayu.

Keluarga saya tahu dan faham tujuan saya berpuasa. Ketika ini, saya hanya berpuasa sekiranya saya bertugas di Kedah. Cuma bila pulang ke kampung bersama keluarga di Perak, saya jarang berpuasa kerana mahu memenuhi keinginan mereka makan bersama dan sebagainya.

Ada juga yang bertanya keperluan saya ikut sama berpuasa. Sebenarnya, sebagai seorang penganut Hindu, kami juga turut berpuasa. Cuma kaedahnya sedikit berlainan. Selain untuk merehatkan sistem penghadaman, saya juga maklum tentang kepentingan berpuasa ini dari sudut kesihatan. 

Amalan itu saya teruskan sehinggalah saya menyertai alam pekerjaan sebagai seorang wartawan penyiaran sekarang. Walaupun sudah jarang dapat melengkapkan keseluruhan 30 hari berpuasa sejak bekerja tapi saya tetap mencuba dan meletakkan sasaran untuk berpuasa sekurang-kurangnya untuk tiga minggu. Dan saya berjaya mengekalkan sasaran itu.