Banjir Pulau Pinang: Kisah Nyawa & Ukhwah
4 Disember 2017

“Semasa kami tolong, langsung tiada rasa ragu dalam diri untuk membantu mangsa-mangsa banjir tu semua. Malah bila bilal surau, Sapno Tukijo bawa mereka naik ke atas, kami mengalu-alukan mereka. Bagi saya, nyawa itu lebih penting. Apa yang kami buat, semuanya atas dasar perikemanusiaan.” 

Demikian cerita Pengerusi Surau Taman Free School, Zakaria Mydin apabila mengimbau kembali detik menyelamatkan mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Jelasnya, mangsa-mangsa yang terdiri daripada Cina, India dan Melayu telah lama hidup bersama dan selesa antara satu sama lain. Malah baginya, bantuan yang diberikan kepada mangsa-mangsa banjir tanpa mengira bangsa itu bukan sahaja atas dasar kemanusiaan, malah ia hasil keakraban dan rasa hormat antara mereka yang telah terjalin sekian lama.

"Jalinan ukhwah kami memang kuat. Surau ini di depan tokong tapi bila kita azan, tiada yang menghantar surat minta perlahankan. Kadangkala, mereka adakan konsert hingga tengah malam tapi kita tak pernah halang atau minta ia ditutup. Kita cuma hormat antara satu sama lain saja. 

Dan atas sebab itu, kita tak pernah pertikai pun mengenai agama masing-masing,” 

Menurut Zakaria, kebanyakan mangsa yang menumpang berteduh di surau itu adalah daripada sebuah rumah orang tua yang terletak berdekatan surau. 

“Bulan 9 lalu pernah berlaku banjir. Tapi ia tidak seteruk dan sederas tempoh hari. Mangsa-mangsa banjir itu sebenarnya dah naik bot tapi disebabkan air terlalu kuat, maka mereka digesa untuk naik ke surau. 

“Pada mulanya mereka agak ragu-ragu tapi bila memikirkan keselamatan masing-masing, mereka terus naik.

Zakaria berkata, berpegang kepada prinsip bahawa baik agama Islam mahupun mana-mana agama sekalipun bertegas untuk kita mengamalkan sikap berperikemanusiaan dan utamakan makhluk Tuhan dalam apa jua keadaan. 

“Kalau tengok gambar itu, ada yang pakai kain telekung dan kain pelikat untuk dibuat selimut. Kami beri saja kepada mereka sebab mereka kesejukan. Selepas waktu siang, ada yang datang membancuh kopi dan berikan makanan untuk mereka.”

Tegasnya, perbuatan mereka itu bukan sesuatu yang aneh tapi ia bertitik tolak daripada keharmonian penduduk di sana yang terdiri daripada bangsa Cina, India, Melayu mahupun Sikh yang telah biasa membesar dalam satu persekitaran yang muhibah sejak sekian lama.