Ayam Belanda Anak Melanau
26 Disember 2017

photo_2017-12-26_12-01-08.jpg

Setiap kali tiba Hari Natal, Hamlee Sabuti, 47, antara individu yang paling sibuk menyediakan hidangan sinonim Krismas iaitu ayam belanda panggang untuk pelanggannya yang beragama Kristian. 

Biarpun beliau sendiri tidak menyambut perayaan itu, anak Melanau kelahiran Sarikei ini berkata beliau sudah menerima tempahan ayam belanda panggang dari hari sebelum Krismas hingga Jumaat ini. 

“Jika ditanya keistimewaan ayam belanda panggang yang dihasilkan ini, saya menggunakan 100 peratus rempah-ratus yang diimport dari Eropah untuk mengekalkan cara penyediaan ala Barat.

“Ayam belanda ini mula diperap semalaman sebelum proses memanggang pada suhu rendah selama dua jam yang dilakukan pagi ini,” katanya ketika ditemui di kafenya yang terletak di Jalan Rubber.

Pengalaman Hamlee yang telah berkhidmat sebagai cef selama 25 tahun di sebuah hotel lima bintang di Kuching, Sarawak membuatkan masakannya sentiasa mendapat tempat di hati pelanggannya. 

Selain ayam belanda panggang, antara makanan lain yang ditawarkan termasuk ‘beef Wellington’, ‘roasted lamb leg’, ‘chicken dancing’ serta aneka pilihan pai. 

Jelasnya, semua hidangan yang disediakan dipadankan dengan sos isitimewa yang dibuat sendiri. 

Ditemani isteri, Zaleha Abdullah, 57, yang juga pernah menjadi cef pastri di sebuah hotel lima bintang menjadikan mereka pasangan ideal yang menawarkan hidangan istimewa di Hari Natal.