Anak Malaysia Ketuai Dapur Halal Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018
13 Februari 2018

photo_2018-02-13_12-30-52_0.jpg

Seluruh dunia akan tertumpu ke Pyeongchang, Korea Selatan pada 9 hingga 25 Februari ini bagi menyaksikan temasya Olimpik Musim Sejuk 2018.

Daerah di kawasan pergunungan Taebaek di wilayah Gangwon itu antara lokasi tersejuk di dunia dan telah membuka pintunya kepada 6,500 delegasi dari 96 buah negara bertanding.

Malaysia turut tidak terlepas menghantar wakil untuk beraksi di pentas beku penuh berprestij itu menerusi atlet figure skating, Julian Yee Zhi-Jie dan alpine skiing, Jeffry Webb. 

Namun tugas mengibar Jalur Gemilang di bumi Korea turut akan digalas oleh seorang lagi wira, tetapi aksinya bukan di gelanggang dan trek.

Chef Faizul Hazly Ghazali, diberi tanggungjawab untuk mengetuai operasi dapur makanan halal pada temasya itu nanti bagi menyediakan makanan halal untuk 170 atlet, jurulatih dan perwakilan yang beragama Islam.

Anak kelahiran Johor itu dipilih oleh Shinsegae Food, hasil jalinan kerjasama syarikat pengeluar makanan terbesar Korea Selatan yang merupakan pembekal makanan rasmi untuk kejohanan sukan itu dengan syarikat Malaysia, Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd. (Mamee).

Pemilihan itu sekali gus menjadikannya anak Malaysia pertama yang menggalas tanggungjawab tersebut, memetik Astro Awani. 
  
“Mula-mula memang terkejut macam tak percaya, ya lah Olimpik ini bukan calang-calang.

“Jadi apabila diberi kepercayaan, saya ambilnya dengan serius bukan semata-mata sebagai chef Muslim yang perlu ada di situ, tetapi keseluruhan perspektif halal termasuk peralatan, perkakas dan segalanya,” kata chef berusia 39 tahun itu.

Chef Faizul yang berpengalaman lebih 20 tahun dengan pengkhususan dalam masakan Jepun menjadi Chef Eksekutif Mamee sejak 10 tahun lepas di samping chef selebriti terkemuka, Datuk Chef Ismail Ahmad dalam pembangunan produk eksklusif syarikat tersebut.

Persiapan untuk dapur halal Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang katanya sudah bermula sejak lebih setahun lalu. Ia juga bermulanya perjalanan ulang-alik Kuala Lumpur-Korea Selatan beliau untuk mempelajari ilmu baharu dan memastikan segalanya diatur dan dilaksana seperti dirancang.

Di Perkampungan Olimpik di Pyeongchang, diwujudkan dapur berasingan khusus untuk memasak dan menyediakan makanan halal yang mengikut piawaian yang digariskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diiktiraf dunia, disokong Persekutuan Muslim Korea (KMF).

"Pada awalnya mereka langsung tidak tahu pasal halal, yang tahu pun sedikit, dan mereka ingat halal ini tidak ada babi sahaja. Lepas kita beri penjelasan dan nasihat seperti cara betul sembelihan dan pengendalian makanan, barulah mereka faham.

“Yang menariknya macam ayam dan itik bercakaplah!,” menceritakan pengalamannya.

“Saya akan dibantu 15 orang chef Korea, mujur ada dua orang lagi pembantu di bahagian penyelidikan dan pembangunan, seorang dari Malaysia dan seorang lagi dari pihak Shinsegae dari India yang mahir berbahasa Korea. Senang sikit nak berkomunikasi.”

Kira-kira 19,000 hidangan halal akan dihasilkan pasukan Chef Faizul untuk disajikan 24 jam kepada para delegasi Muslim, antaranya sup lentil, kambing panggang, ayam gril dan pelbagai lagi.

Untuk memastikan ia dapat dilaksanakan dengan cukup dan lancar, hampir 6,000 kilogram ayam, lembu, kambing dan makanan laut dibeli daripada vendor-vendor halal dari serata dunia termasuk Brazil dan Australia.

Bagi Chef Faizul,  beliau sudah bersedia untuk menyahut cabaran itu kerana dijangka terpaksa bertugas dalam temasya sukan paling sejuk dalam sejarah penganjurannya sejak di Norway pada 1994, dengan purata suhu sekitar 15 darjah Celcius di bawah paras beku.

Mujur dia tidak beraksi di luar, tugasnya hanya tertumpu di dalam dapur hangat. Walaupun sedikit kecewa apabila makanan tradisi Malaysia tidak dapat dimasukkan ke dalam menu harian delegasi, namun dia akur dengan diet para atlet dan piawaian standard yang telahpun digariskan.

“Terpaksalah bertabah dengan kesejukannya, makanannya pun itu sahajalah.

“Mahu tak mahu, mental dan fizikal kena bersedia. Ini satu pengalaman hebat untuk saya,” katanya.