Tunjukkan sokongan anda -
Klik di sini untuk mendapatkan Kit Tindakan anda hari ini.

Share:
Share on Facebook
 Blog
Kita boleh belajar daripada sambutan menuai Sabah dan Sarawak
Mei 29th, 2012 by Najib Razak

Semakin kita menghampiri penghujung bulan Mei ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut pesta menuai kepada rakan-rakan senegara kita dari Timur. Di Sabah, kaum Kadazandusun dan suku-suku dibawahnya mengakhiri sambutan Tadau Kaamatan selama sebulan pada 30 dan 31 Mei, manakala komuniti-komuniti Dayak di Sarawak pula menyambut Gawai Dayak bagi menandakan bermulanya musim menanam padi yang baru pada 1 dan 2 Jun. Sebagai sebuah negara yang mempunyai berbilang budaya dan etnik, pada pendapat saya, ada banyak yang boleh kita pelajari daripada saudara-saudara kita di Tumur.

Sebelum adanya sambutan perayaan musim menuai ini, setiap kaum dan kampung menyambut ritual menuai mereka pada masa berbeza sepanjang tahun, iaitu bergantung kepada kitaran tanaman padi mereka. Bagi membolehkan semua kumpulan etnik dan kampung-kampung menyambut acara ini bersama, pemimpin masyarakat dan komuniti tempatan telah berkumpul dan telah bersama-sama bersetuju memilih satu tarikh umum bagi menyambut perayaan ini. Di Sabah, acara menuai telah dengan sendirinya bermula pada tahun 1960, setelah dimasukkan ke dalam Tamu Besar buat pertama kalinya. Di Sarawak pula, perbincangan antara pemimpin masyarakat dan kerajaan akhirnya membuahkan keputusan 1 Jun dipilih sebagai hari sambutan perayaan musim menuai yang rasmi. Ini merupakan kehendak bersama pelbagai kumpulan kaum di Sabah dan Sarawak; iaitu dari kaum Murut ke Orang Sungai dan dari kaum Iban ke Bidayuh, untuk bergabung di bawah perayaan Kaamatan dan Gawai yang sehingga kini telah membawa kepada perpaduan pelbagai kaum.

Sebagai Perdana Menteri, amat menyentuh hati apabila mengetahui rakyat Malaysia di rantau Borneo dapat berkumpul bersama-sama dalam persahabatan untuk menyambut ketibaan musim menuai walaupun terdapat perbezaan yang dihadapi. Oleh itu, saya menyeru agar semua rakyat Malaysia daripada pelbagai etnik yang berbeza, sama ada Melayu, Cina, India dan apa jua sekalipun untuk belajar dari saudara-saudara kita dari Timur. Jika kita juga boleh belajar untuk menerima dan meraikan antara satu sama lain walaupun adanya perbezaan antara kita, maka negara kita akan maju ke hadapan dalam usahanya untuk berkembang dan makmur dalam keadaan yang penuh aman dan harmoni.

Kepada semua rakyat Malaysia yang menyambutnya, Kotobian tadau tagazo do Kaamatan (Selamat menyambut Kaamatan) dan Selamat Hari Gawai, gayu guru gerai nyamai (semoga panjang umur, sihat selalu dan dimurahkan rezeki).

Tags:

|
blog comments powered by Disqus