Share:
Share on Facebook
 Blog
Warisan Tokoh Inovasi
Oktober 30th, 2011 by Najib Razak

Seringkali dunia kita berubah akibat dipengaruhi oleh wawasan seseorang insan yang inovatif. Contohnya, bayangkan keadaan pengangkutan udara untuk orang awam sekarang sekiranya Juan Trippe dahulu tidak melihat potensi yang ada pada penggunaan kapal terbang selain dalam ketenteraan dan perdagangan. Dan tanpa wawasan Akio Morita, salah seorang pengasas Sony Corporation dan pencipta Walkman, dapatkah kita melihat potensi yang ada sekarang pada barangan elektronik mudah alih yang bersaiz kecil? Dunia telah seringkali mengambil anjakan yang besar ke hadapan, terima kasih kepada wawasan dan inovasi insan-insan sebegini.

Kerana itu, pemergian mereka sering meninggalkan kesan yang mendalam kepada dunia yang telah banyak menerima manfaat daripada pemikiran inovatif mereka.

Perasaan kehilangan ini kembali dirasai pada 5hb Oktober baru-baru ini apabila Steve Jobs, salah seorang daripada pengasas syarikat elektronik Apple, telah meninggal dunia. Banyak negara-negara maju dan sedang maju yang telah dipengaruhi oleh pemikiran inovatif beliau. Bukan sekadar pada komputer-komputer prestasi tinggi dan alat-alat elektronik pintar yang telah beliau perkenalkan kepada berjuta-juta manusia tetapi juga pada idea dan inovasi beliau yag telah mencetus dan merangsang pelbagai inovasi lain. Contohnya, penghasilan lebih banyak aplikasi-aplikasi mudah alih yang lain, perkembangan reka bentuk yang minimalis dan bijak, dan perubahan pada cara industri teknologi berkembang.

Warisan yang telah ditinggalkan oleh Steve Jobs, Juan Trippe, Akio Morita dan ramai lagi para inovasi dunia telah membuatkan saya berhenti untuk berfikir seketika. Banyak yang boleh dipelajari daripada daripada mereka. Saya ingin berkongsi bersama anda disini beberapa pengajaran yang telah saya hayati menerusi mereka yang telah berjaya merubah dunia. Pengajaran-pengajaran ini begitu berharga bagi saya dan saya harap anda juga dapat menerima manfaat daripadanya.

Penginovasi percaya bahawa inspirasi hadir daripada sesiapa sahaja dan di mana sahaja. Bagi mereka, pembelajaran tidak terhad hanya di sekolah sahaja, tetapi berlaku setiap kali mereka berinteraksi dengan orang lain atau dengan kehidupan lain termasuklah entiti yang tidak bernyawa. Sikap ingin tahu mereka menyemarakkan hasrat mereka untuk mewujudkan produk-produk dan sistem-sistem yang lebih baik.

Untuk menjadi inovatif, kita perlu berani mengambil risiko. Daripada mengikut laluan yang telah ditinggalkan oleh orang lain, seorang inovator akan meneroka jejak baru. Mereka sentiasa berfikiran terbuka dalam menilai pendapat-pendapat yang luar biasa dan mampu untuk melihat kehadiran peluang pada sesuatu yang dilihat oleh orang lain sebagai masalah. Thomas Edison umpamanya, melakukan pelbagai percubaan dengan bahan yang berbeza-beza sebelum beliau akhirnya berjaya menyalakan sebuah mentol lampu pijar selama 40 jam menggunakan filamen karbon.

Penginovasi tidak mendapat formula kejayaan mereka pada percubaan pertama, tetapi mereka cekal hati dan tidak pula berhenti mencuba. Seperti Edison, mereka melihat percubaan-percubaan yang gagal itu sebagai langkah-langkah yang membawa mereka lebih dekat kepada kejayaan. Malah, Edison telah merumuskannya ideology ini dengan tepat: “Genius adalah 1 peratus inspirasi, 99 peratus keringat”.

Mungkin inilah perbezaan yang paling ketara antara seorang pencipta dengan seorang penginovasi. Sepanjang zaman, berjuta-juta orang telah menghasilkan pelbagai ciptaan, tetapi hanya sebahagian kecil telah menyentuh dunia dengan idea-idea mereka. Komuniti kecil ini menjadi penginovasi kerana mereka tidak berlumba untuk menjadi yang pertama menghasilkan sesuatu ciptaan, tetapi mereka berlumba untuk menghasilkan versi ciptaan itu yang benar-benar dapat memanfaatkan orang ramai.

Apakah pengajaran yang anda perolehi dari penginovasi seperti mereka? Banyak lagi yang boleh dipelajari daripada mereka ini dan saya amat berharap agar satu hari nanti kita dapat meletakkan nama rakyat Malaysia dalam analogi sejarah dunia sebagai tokoh yang telah berjaya merubah dunia dengan pemikiran inovatif mereka. Waktu ini pun, rakyat Malaysia seperti Profesor Dr Halimaton Hamdan, Phua Khein-Seng dan Datuk Seri Tony Fernandes telah pun membawa idea dan pendekatan inovatif mereka dalam cara kita melihat dunia moden dari segi teknologi nano, penyimpanan data dan pengangkutan udara.

Dengan harapan inilah, saya telah mengumumkan 2012 sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional, dengan beberapa inisiatif strategik seperti MyCreative Venture Capital dan C1PTA, serta peruntukan sebanyak RM100 juta dalam Bajet 2012. Adakah kita akan melihat lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang meneroka jejak baru pada masa akan datang?

Tags: ,

|
← Go back