Tunjukkan sokongan anda -
Klik di sini untuk mendapatkan Kit Tindakan anda hari ini.

Share:
Share on Facebook
 Blog
Pinjaman PTPTN Untuk Pendidikan – Universiti dan Kolej Akan Terus Mampu Untuk Semua
Jun 7th, 2012 by Najib Razak

Saya sentiasa percaya betapa pentingnya pendidikan yang baik. Bukan sahaja kerana orang ramai perlu diberi peluang untuk mengembangkan pengetahuan mereka, tetapi juga kerana tenaga kerja mahir semakin diperlukan dalam ekonomi kita masa kini yang kian berkembang dan diterajui oleh teknologi maklumat. Peranan kerajaan dalam membantu pelajar mendapatkan pendidikan tinggi ternyata jelas. Atas sebab itulah biasiswa JPA ditawarkan secara rutin kepada pelajar yang layak bagi membantu mereka mencapai impian untuk melanjutkan pelajaran ke tahap universiti atau kolej ternama. Pelajar-pelajar yang tidak dapat melayakkan diri pula dengan biasiswa pula ditawarkan pinjaman PTPTN sebagai alternatif.

PTPTN telah ditubuhkan pada 1997 sebagai langkah untuk memudahkan pelajar yang memerlukan bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran mereka. Dana itu terbentuk daripada sumbangan, deposit dan pembayaran yang dibuat kepada organisasi itu di samping pelaburan bagi memperkembangkan dana itu. Pembayaran balik pinjaman akan bermula dalam tempoh enam bulan setelah pelajar menamatkan pengajian, termasuklah yuran pentadbiran sebanyak 3% daripada pinjaman asal. Ini boleh dikurangkan dengan pertukaran kepada skim Ujrah, yang mengurangkan yuran pentadbiran kepada hanya 1%.

Setelah beroperasi lebih dari satu dekad setengah, PTPTN tidak lari daripada kritikan. Ada yang menggesa supaya sistem tersebut digantikan dengan sistem pendidikan tinggi percuma untuk semua sebagai langkah mengurangkan beban pembayaran balik ke atas pelajar. Kami telah mempertimbangkan kebaikan dan keburukan cadangan ini – walaupun pemansuhan menawarkan penangguhan segera bagi pelajar-pelajar yang masih membayar balik pinjaman PTPTN mereka, terdapat faktor-faktor lain yang perlu diambil kira oleh pihak kerajaan.

Pertama, pemansuhan akan menyebabkan kerajaan menanggung kos sebanyak RM43 bilion dalam bentuk pinjaman tertunggak. Wang ini tentunya boleh digunakan untuk menjalani projek-projek yang dapat membantu rakyat. Selain itu, penubuhan universiti teknikal yang menawarkan pendidikan percuma memerlukan sumber yang besar. Kedua, prinsip subsidi 100% terhadap yuran kolej dan universiti jarang diamalkan oleh mana-mana negara. Ijazah yang baik adalah batu loncatan kepada pendapatan yang lebih baik, dan cukai daripada isi rumah berpendapatan rendah dalam masyarakat kita turut menyumbang kepada batu loncatan itu.

Walau bagaimanapun, kerajaan sedar bahawa beban perhutangan telah menjadi satu isu yang penting bagi rakyat Malaysia terutamanya bagi para graduan. Sebanyak 85-95% daripada kos pendidikan sudahpun disubsidi oleh kerajaan, dan perbelanjaan sara hidup pelajar pula difaktorkan di dalam pinjaman PTPTN. Selain usaha berterusan dalam membantu pelajar mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian, mereka yang masih menganggur tidak akan dipaksa untuk membayar balik pinjaman mereka. Sebaliknya kami menggalakkan pelajar tersebut untuk meneruskan pelajaran mereka, dan kami akan menyediakan bantuan sekiranya mereka ingin belajar di luar negara sebagai alternatif.

Saya berpegang teguh pada konsep penyediaan pendidikan yang berpatutan dan berkualiti tinggi kepada pelajar. Kami akan terus menyediakan pendidikan sebegini, mengimbangi keperluan rakyat dengan memupuk bakat masa hadapan.

Tags: , ,

|
blog comments powered by Disqus