Share:
Share on Facebook
 Blog
Memelihara Keamanan
September 7th, 2012 by Najib Razak

Tempoh hari saya bersama-sama dengan Tuanku Sultan Kelantan, telah menghadiri sambutan Hari Pahlawan bagi tahun ini yang telah diadakan di Dataran Merdeka. Bersempena dengan acara itu, saya juga telah melancarkan Kad “1Malaysia Privilege Card” bagi anggota polis dan tentera yang membolehkan mereka menikmati diskaun bagi produk-produk dan perkhidmatan daripada 20 syarikat yang mengambil bahagian dalam program itu. Mungkin sumbangan ini dilihat kecil jika dibandingkan dengan jasa dan pengorbanan mereka kepada negara, namun saya merasakan sekurang-kurangnya kad ini akan dapat meringankan bebanan perbelanjaan harian mereka.

Sebagai rakyat Malaysia, sememangnya banyak yang harus membuatkan kita rasa bersyukur. Angkatan Tentera kita mula ditubuhkan atas keperluan yang wujud sewaktu zaman jajahan British dahulu. Mereka mula-mula berkhidmat dengan menentang komunis yang ingin mengubah cara hidup kita. Sejak itu, kehadiran mereka adalah penting dalam melindungi kepentingan Malaysia serta rakyatnya. Misi luar negara mereka yang pertama pula adalah operasi keamanan di Republik Congo yang pada waktu itu sedang bergolak dengan pelbagai krisis dan telah mengakibatkan kematian beribu-ribu penduduk serta pembunuhan Perdana Menteri Patrice Lumumba.

Sehingga kini, negara kita telah menyumbang lebih daripada 20,000 anggota tentera serta 1,000 anggota polis bagi misi-misi keamanan di seluruh dunia. Sepanjang tempoh itu juga, 28 rakyat Malaysia telah terkorban sewaktu menjalankan tugas mereka, berkhidmat dan berjuang dengan berani bagi memperbaiki kehidupan mereka yang lain. Angkatan tentera kita telah mendapat reputasi yang tinggi bagi sumbangan mereka di Somalia, Bosnia, Kemboja, Timor Leste, Sahara Barat, Namibia dan Lubnan. Dan kita terus memberikan sumbangan di negara-negara lain. Pada tahun 2010, Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Kontinjen Malaysia (MALCON ISAF) telah tiba di Afghanistan bagi misi kemanusiaan, menyediakan bantuan kesihatan, pendidikan dan perubatan dalam keadaan negara itu yang sedang bergolak dalam peperangan.

Baru-baru ini, Pasukan Bersenjata kita telah aktif di Lubnan, dengan Malcoy 8, sebuah pasukan yang dianggotai oleh 200 perajurit kita yang terbaik dan 540 anggota Batalion Malaysia (Malbatt 4). Lubnan merupakan misi keamanan kita yang terbesar setakat ini, satu fakta yang tidak terlepas dari pandangan dunia. Ianya juga adalah bukti komitmen Malaysia terhadap masyarakat antarabangsa.

Selari dengan bagaimana Angkatan Tentera kita menjaga keamanan global, pasukan polis kita pula membantu menjaga keamanan dalam negara. Kami telah mendedikasikan tahun-tahun kebelakangan ini untuk meningkatkan peralatan dan perkakasan pasukan polis agar mereka dapat menjalankan tugas mereka dengan cekap dan berkesan. Kemudahan dan pusat arahan telah dirombak agar dapat memantau keadaan dengan lebih berkesan selain meningkatkan usaha untuk mengurangkan tempoh tindak balas. Perubahan dan perkembangan dalam keperluan masyarakat mengharuskan pasukan polis untuk berubah bagi memenuhi keperluan-keperluan baru dan memastikan keselamatan awam terjamin – oleh itu kita akan terus membantu meningkatkan kapasiti dan keupayaan PDRM.

Sempena meraikan satu lagi tahun kemerdekaan negara kita ini, saya ingin memanjangkan ucapan terima kasih saya kepada semua rakyat Malaysia yang telah berbakti dalam Angkatan Tentera dan Polis yang bukan sahaja telah mengekalkan keamanan, tetapi juga telah menghulurkan bantuan dalam perkara-perkara kehidupan harian Rakyat seperti pembinaan jalan raya di kawasan luar bandar melalui projek “Jiwa Murni”. Sama ada negara sedang diancam oleh kuasa luar atau tidak, perkhidmatan mereka tetap merupakan suatu yang tidak ternilai bagi kita semua. Sememangnya tanggungjawab yang anda pikul benar-benar merupakan satu tugas yang amat mulia, dan ingatlah bahawa anda sentiasa berada dalam fikiran kami semua sewaktu anda berkhidmat untuk negara.

|
blog comments powered by Disqus