| Share: |

Sewaktu Allahyarham bapa saya menjadi Perdana Menteri, saya pernah terfikir betapa berat tanggungjawab yang dipikul beliau yang sentiasa memikirkan bebanan dan kerisauan Rakyat. Sejak dua tahun yang lalu, saya turut melalui pengalaman yang sama. Keadaan hari ini dan cabaran yang diberikan ternyata berbeza dibandingkan dengan zaman yang dilalui oleh Allahyarham bapa saya, begitu juga dengan kaedah dan pendekatan yang boleh diperolehi hari ini. Namun, tanggungjawab seorang Perdana Menteri tidak banyak berubah: Rakyat Didahulukan pada bila-bila masa.
Saya amat sedar tentang beban kos yang semakin meningkat yang dihadapi oleh ramai rakyat Malaysia, terutamanya di kalangan anda yang menetap di kawasan bandar. Saya telah menerima laporan terkini daripada orang ramai, dan saya sendiri membaca komen-komen dari anda yang ditujukan khas kepada saya melalui Facebook dan Twitter. Perkara ini seringkali dibangkitkan di kala aktiviti mesra rakyat, dan interaksi bersemuka dengan Rakyat. Sungguhpan saya tidak mempunyai keupayaan sebagai seorang individu untuk memperbaiki keadaan kewangan anda, seorang demi seorang, namun percayalah saya memberikan usaha yang terbaik untuk membantu seramai yang mungkin.
Pada bulan lepas, saya gembira sekali dapat melancarkan Kedai Rakyat 1Malaysia, satu inisiatif awam-swasta untuk mengurangkan bebanan kewangan Rakyat. Di kedai ini, barangan keperluan asas dijual pada harga 40% lebih rendah berbanding harga runcit biasa. Bermula dengan sebuah kedai sahaja, Kedai Rakyat ini nanti akan berkembang meliputi lokasi-lokasi strategik yang lain.
Dalam satu majlis yang berasingan bulan lepas, saya berkongsi sedikit perkembangan Skim Rumah Pertamaku, yang diumumkan bulan Mac lalu. Skim ini menawarkan pembiayaan 100% bagi pembelian rumah yang berharga dalam lingkungan RM220,000. Memahami hakikatnya bahawa tidak banyak pembangunan rumah yang boleh diperolehi pada harga berikut, saya telah mengumumkan bahawa satu skim akan dilancarkan untuk membina rumah-rumah mampu milik, berharga di bawah kadar pasaran, khusus untuk kumpulan sasaran Skim Rumah Pertamaku. Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), yang akan saya lancarkan Isnin ini, adalah satu lagi perkongsian pintar awam-swasta yang diharap dapat meringankan beban kewangan untuk memiliki rumah, dan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menjadi pemilik rumah.
Satu lagi pencapaian penting telah dirakam di penghujung sesi Parlimen baru-baru ini, apabila Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara diluluskan. Hanya beberapa hari sebelum pencapaian ini, saya bercakap mengenai perlunya majlis perundingan ini. Saya percaya bahawa seharusnya tiada seorang pun rakyat Malaysia yang hidup di bawah paras kemiskinan. Sewaktu saya mendapati bahawa posmen kita dibayar di bawah paras kemiskinan, saya telah melakukan segala yang perlu mendapatkan mereka kenaikan gaji. Saya juga mengambil tindakan untuk memperbaiki nasib pengawal keselamatan. Baru-baru ini, pekerja lading juga akan menerima lebih pendapatan, setelah saya memujuk Sime Darby untuk menaikkan gaji pekerja-pekerja sebanyak RM200 sebulan. Lebih banyak syarikat perladangan yang akan menyusul kemudian dengan tindakan ini.
Lagi pula, saya percaya bahawa kita telah menilai kurang kemahiran rakyat Malaysia, dan inilah satu punca besar mengapa rakyat Malaysia terpaksa mencari peluang pekerjaan di luar negara. Melalui Majlis Perundingan Gaji ini, tiga pihak dari pihak pekerja, majikan, dan Kerajaan akan duduk bersama-sama untuk menentukan satu kadar yang saksama bagi pekerja dan majikan. Kita tidak mahu kehilangan rakyat Malaysia yang mahir, dan kami percaya inilah satu langkah ke haluan yang betul. Dengan skala gaji yang lebih baik, ditambah dengan budaya kerja yang lebih berdaya saing dan produktif, saya yakin rakyat Malaysia akan berasa lebih terjamin akan keselamatan ekonomi mereka di negara ini.
Adalah menjadi tanggungjawab saya dan Kerajaan pimpinan saya untuk peka terhadap kperluan Rakyat. Keperluan yang mendesak seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, dan perumahan ialah perkara-perkara yang diutamakan oleh Rakyat. Keutamaan teratas bagi diri saya adalah untuk memastikan bahawa kami melakukan yang terbaik bagi memenuhi keperluan ini.