Share:
Share on Facebook
 Blog
Malaysia Kita Yang Bersatu
April 25th, 2011 by Najib Razak

Saya berasa begitu terharu diberi penghormatan berucap kepada semua rakyat yang hadir untuk menyambut ulang tahun pertama Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diadakan lewat bulan lepas. PEMANDU telah menganjurkan acara penuh keceriaan di Stadium Putra Bukit Jalil dan dihadiri oleh ribuan hadirin yang meraikan hari istimewa tersebut. Perayaan pada hari itu membuktikan bahawa dengan kerja keras, apa yang mustahil juga mampu kita lakukan.

Sebagaimana kita sedia maklum, kita sedang melangkah ke arah menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi; dan GTP adalah sebahagian daripada penjana ke arah memenuhi impian tersebut dan Wawasan 2020. Pelaksanaan GTP disasarkan untuk mengubah kaedah pelaksanaan Kerajaan supaya dapat menyempurnakan penyelesaian kepada isu-isu dan tuntutan yang melibatkan rakyat. Lihat saja hasil yang telah kita nikmati dalam tempoh tahun pertama sejak GTP dilancarkan. Bayangkan kejayaan yang mampu kita capai jika semua kita berpadu tenaga dan bekerja sebagai satu bangsa dalam semangat 1Malaysia demi mencapai matlamat yang sama. Semestinya kejayaan tersebut  akan menjadi sesuatu yang bersejarah. Seperti yang kita sedia maklum, hasil kejayaan terkini kita telah pun diiktiraf oleh Transparency International. Paparan di bawah hanyalah sebahagian kecil daripada hasil yang dicapai melalui GTP tahun lepas.

Untuk membolehkan sesebuah negara itu berubah, maka rakyat mestilah menjadi pencetusnya. Gaya hidup dan kepercayaan kita yang utuh mempengaruhi segala-galanya di sekeliling kita. Saya sentiasa menekankan tentang nilai-nilai kesederhanaan, 1Malaysia dan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.  Jika kita mengamalkan semua konsep dan gagasan ini, kita mampu menempa kejayaan lebih cemerlang dan menjadi pengaruh positif kepada orang-orang di sekeliling kita.

Carta di atas memperlihatkan kejayaan kita mencapai kesemua sasaran 2010 dan pada masa yang sama kekal pada belanjawan yang ditetapkan.

Ada dua perkara yang anda boleh lakukan sebagai rakyat Malaysia:

Pertama, memberikan pengiktirafan anda kepada segala usaha yang dilakukan untuk mencapai hasil ini dengan membaca laporan tahunan GTP. Laporan tersebut akan memperlihatkan sejauh mana pencapaian kita dan apa yang mampu kita capai  dalam jangka masa hanya setahun. Dengan hanya setebal 254 muka surat, laporan ini merupakan hasil dedikasi, keazaman dan kerja keras yang dilakukan oleh perkhidmatan awam, golongan akademik, badan-badan bukan kerajaan, sektor swasta dan ramai lagi yang sama-sama mengembeling tenaga untuk mengatasi dan mencari penyelesaian kepada semua isu yang begitu penting kepada anda.

Kedua; anda juga memainkan peranan untuk mentransformasikan negara kita. Terlalu banyak cara untuk anda menyumbang ke arah kejayaan ini. Sama ada mencegah jenayah, mendedahkan penyelewengan dan membenteras rasuah, membantu pelajar dan golongan miskin malahan memberikan maklum balas tentang bagaimana kita boleh menambahbaikkan pencapaian dan hasil masa hadapan, sumbangan anda akan menggerakkan kita ke hadapan. Bersama-sama kita akan membentuk satu budaya penambahbaikkan berpanjangan dengan anda sebagai rakyat, mengambil inisiatif untuk melonjakkan negara ke hadapan.

Memanglah jalannya masih panjang dan kita akan berhadapan dengan kesukaran dan rintangan, namun kita perlu bersusah-susah dahulu untuk bersenang-senang kemudian demi menikmati manfaatnya. Kesemua manafaat ini bukan saja untuk kita nikmati sekarang, malah akan dinikmati juga oleh generasi hadapan. Marilah kita bersama-sama memastikan masa hadapan Malaysia yang lebih menyinar dan lebih cemerlang.

Tags:

|
← Go back