Tunjukkan sokongan anda -
Klik di sini untuk mendapatkan Kit Tindakan anda hari ini.

Share:
Share on Facebook
 Blog
Pertumbuhan Malaysia – Stabil Namun Pasti
Ogos 7th, 2012 by Najib Razak

Selamat datang ke Kuala Lumpur, sebuah bandar IPO… di mana bank-bank sedang menikmati manfaat daripada pertumbuhannya yang pesat pada kadar yang menakjubkan.” Begitulah pendapat seorang wartawan mengenai tawaran awam permulaan oleh Felda Global Ventures Holdings dan IHH Healthcare di bursa Kuala Lumpur baru-baru ini, pada penyenaraian yang kedua dan ketiga terbesar di dunia tahun ini.

Menyamakan Kuala Lumpur dengan pusat-pusat kewangan utama seperti Hong Kong atau Singapura, seperti yang telah dilakukan oleh beberapa wartawan kebelakangan ini, mungkin adalah tanda gembar-gembur yang sering berlaku setiapkali ada penyenaraian pasaran saham utama. Walaupun begitu, bursa saham Kuala Lumpur semakin kukuh dan telah merekodkan paras tertingginya pada bulan Julai. Dengan lambungan pada trend global yang suram, ia turut mencerminkan ekonomi Malaysia yang lebih luas.

Pada suku pertama tahun ini, ekonomi Malaysia telah turut menunjukkan pertumbuhan yang positif iaitu pada kadar 4.7 peratus, walaupun dalam keadaan dimana pasaran eksport utama kami di Eropah sedang mengalami kemelesetan, dan prestasi rakan perdagangan utama seperti China dan India pula merosot. Kadar hutang Malaysia kekal pada tahap boleh-urus iaitu pada 53.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar, manakala kadar pengangguran pula adalah pada 3 peratus. Pendapatan per kapita telah meningkat daripada US$6,700 pada 2009 kepada AS$9,700 pada akhir tahun lepas. Perdana Menteri Britain, David Cameron baru-baru ini telah merujuk Malaysia sebagai “kuasa besar ekonomi global moden”.

Sebagai Perdana Menteri Malaysia, amat mudah, namun salah, bagi saya untuk mengambil kredit terhadap kejayaan ekonomi ini. Namun, pujian yang sebenarnya harus diberikan kepada kecemerlangan usahawan-usahawan kita, kesungguhan anak-anak muda kita, graduan-graduan yang maju, dan terutamanya dedikasi dan kesungguhan beratus-ratus ribu rakyat Malaysia yang bekerja dalam industri-industri utama seperti perladangan, perkhidmatan dan pembuatan. Pada masa yang sama, pengawasan ekonomi oleh kerajaan yang mantap, khususnya dalam perlaksanaan Program Transformasi Ekonomi, telah menyediakan asas yang kukuh bagi ekonomi negara kami untuk berdaya saing.

Malaysia tidak pernah mengamalkan kapitalisme tidak berkawal yang memberikan kejayaan serta merta, yang terbukti telah membawa kepincangan terhadap beberapa ekonomi semenjak krisis kewangan global. Sebaliknya, kami telah memberikan tumpuan dalam memastikan kestabilan dan membuat reformasi yang dipertimbangkan dan berlelaran yang membawa kepada kejayaan jangka panjang. Kami telah meliberalisasikan sektor perkhidmatan, menumpukan pelaburan terhadap industri-industri pertumbuhan utama dan mempelbagaikan pelaburan negeri dalam syarikat-syarikat yang telah mantap. Felda Global dan IHH Healthcare adalah antaranya. Selama beberapa tahun, kerajaan telah memiliki pegangan majoriti dalam syarikat-syarikat ini, dan pada tahap tertentu, mereka dilindungi daripada ragam pasaran sehinggalah mereka cukup matang untuk dilepaskan. Kini Felda Global adalah syarikat minyak sawit ketiga terbesar di dunia dari segi keluasan, manakala IHH Healthcare adalah pengendali hospital yang terbesar di Asia.

Pihak kerajaan terus menyokong industri-industri baru yang akan menjana ekonomi Malaysia – dan global – pada dekad-dekad yang akan datang. Sebagai contoh, kami berazam untuk mengembangkan sektor maklumat, komunikasi dan teknologi kami untuk menyediakan 17 peratus pendapatan negara menjelang 2020; dan kami juga menyokong teknologi karbon rendah seperti modul solar, lampu LED efisien tinggi dan kereta hibrid serta elektrik. Sektor pelancongan dan sektor pembuatan peringkat tinggi kami sudahpun menjadi peneraju global; manakala Malaysia pula adalah pemacu dalam industri kewangan Islam atarabangsa.

Isnin lalu, saya telah merasmikan Tun Razak Exchange, daerah kewangan antarabangsa yang baru bagi Kuala Lumpur. Pertukaran ini dijangka dapat menarik 250 buah syarikat, mewujudkan 500,000 pekerjaan baru dan menjana lebih AS$8billion dalam nilai pembangunan. Matlamat kami adalah untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah pusat kewangan global.

Nilai sektor kewangan Islam contohnya, hanya bernilai AS$5 bilion pada tahun 1985 tetapi kini, ia sudah melebihi US$1 trillion. Malaysia menyumbang 40 peratus daripada jumlah perdagangan ini dan kami merancang untuk menggandakan sebanyak tiga kali bagi nilai sektor ini dalam dekad yang akan datang. Bidang pertumbuhan seperti ini akan memastikan bahawa kami berada pada kedudukan yang baik untuk memimpin ekonomi global akan datang dan merealisasikan cita-cita kami untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

Walau bagaimanapun, di Malaysia, kami mengelakkan daripada meletakkan pembangunan semata-mata pada pertumbuhan ekonomi. Ekonomi yang terbuka dan dinamik memerlukan politik yang juga bertenaga dan berdaya saing. Untuk kestabilan jangka panjang dan kejayaan di Malaysia, sistem politik kami mesti berkembang dan matang seiring dengan ekonomi kami. Atas sebab-sebab ini, kerajaan telah dalam beberapa bulan yang lalu, melaksanakan pelbagai reformasi yang bertujuan untuk memperkukuh dan memperdalamkan lagi demokrasi negara ini.

Pembaharuan ini termasuklah menamatkan keadaan kecemasan negara yang telah berlanjutan sejak berdekad lamanya; memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri – yang membenarkan penahanan tanpa bicara – dengan perundangan yang membenarkan polis menahan suspek pengganas selama 28 hari, dan hanya untuk tujuan penyiasatan aktif; memperkenalkan undang-undang bagi meliberalisasikan media; meluaskan skop bagi penglibatan pelajar dalam politik, dan yang terkini, memansuhkan Akta Hasutan, yang sudah tidak sesuai lagi dengan keadaan zaman kini.

Saya percaya bahawa pendekatan yang dibawa oleh Malaysia – kapitalisme yang stabil dan membina, dengan pembaharuan ekonomi dan politik yang seiring – akan terus membawa kejayaan kepada negara ini. Saya juga berharap bursa Kuala Lumpur, seperti juga ekonomi kami, akan terus mendapat lebih manfaat daripada pertumbuhan Malaysia yang pesat, dan kurang pula mendapat kesan daripada kesuraman antarabangsa, di bulan-bulan dan tahun-tahun yang akan datang.

|
blog comments powered by Disqus