Share:
Share on Facebook
 Blog
Membawa Semangat Malaysia ke Sukan Olimpik
Julai 26th, 2012 by Najib Razak

Sukan Olimpik banyak memberi kenangan indah kepada kita semua. Saya sendiri masih ingat apabila pasukan Harimau Malaya buat pertama kali layak ke temasya sukan itu pada 1972 di Munich dan saya sangat bangga ketika menonton aksi mereka menentang pasukan Jerman meskipun kita tewas 3-0 tetapi semangat juang para pemain telah menjadi inspirasi kepada kita semua. Dua puluh tahun kemudiannya di Barcelona, saya sekali lagi amat gembira ketika menyaksikan Razif dan Jalani sidek meraih pingat pertama negara di sukan Olimpik selepas mereka berjaya meraih pingat Gangsa dalam sukan badminton bagi acara beregu lelaki ketika itu.

Kini, selepas dua puluh tahun negara mencipta kejayaan manis itu, 30 atlit akan mewakili negara untuk bersaing dengan jaguh sukan dari seluruh dunia di acara sukan yang akan diadakan di London itu. Seluruh rakyat di negara ini pasti akan terus memberi sokongan padu mereka kepada atlit negara dalam saingan tersebut. Untuk itu, saya mahu berkongsi dengan rakyat Malaysia mengapa saya menganggap Sukan Olimpik sebagai sangat penting kepada kita semua.

Penganjuran Sukan Olimpik ini telah banyak berubah sejak kali pertama ia dianjurkan di Greece. Ia kini disertai lebih 204 negara dari seluruh dunia. Apa yang masih kekal sama dari dulu adalah setiap atlit akan berjuang habis-habisan untuk menempuh kejayaan sekali gus meraikan kemenangan dan sudah pasti akan ada juga yang kecewa kerana gagal meraih sebarang pingat.

Bagaimanapun, harus diingat dalam sesuatu permainan ia bukan semata-mata untuk memenangi pingat emas atau memecahkan rekod, tetapi sebaliknya memainkan peranan yang lebih penting dari itu kerana ia mampu memberi inspirasi kepada semua untuk terus mengecapi kejayaan. Semangat setiakawan ketika beraksi juga mampu untuk menyatukan setiap negara tidak kira bangsa, agama serta ideologi politik mereka. Pada saya, semangat bersatu-padu itu sama seperti yang terdapat di Malaysia dan lebih menyeronokkan lagi apabila semangat itu boleh dilihat pada skala yang lebih besar terutama di bandar seperti di London iaitu bandar kosmopolitan yang kaya dengan pelbagai budaya itu. Semangat kesukanan itu akan terus hidup di bandar yang bertutur dalam 150 bahasa pada setiap hari itu meskipun tanpa penganjuran Sukan Olimpik!

Saya berharap, menjelang majlis perasmian Sukan Olimpik yang semakin hampir itu, segala perbezaan peribadi dapat diketepikan dan mereka yang terlibat dapat hadir dengan semangat penuh keharmonian dan kemananan. Banyak perkara yang kita boleh pelajari dari semangat bersatu-padu ini dan sekiranya ia dapat diamalkan sepanjang masa dan bukannya sekadar empat tahun sekali, maka saya yakin ia boleh menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih baik buat kita semua.

Justeru, saya berharap setiap rakyat Malaysia dapat terus memberi sokongan yang padu kepada atlit negara ketika mereka berjuang untuk memenangi sesuatu pada Sukan Olimpik kali ini… dan diharapkan pada temasya sukan yang lain juga!

Tags:

|
blog comments powered by Disqus