Melakukan Lebih Lagi Untuk Masyarakat Cina pada tahun 2013 | 1MALAYSIA


Share:
Share on Facebook
 Blog
Melakukan Lebih Lagi Untuk Masyarakat Cina pada tahun 2013
Februari 7th, 2013 by Najib Razak

Perayaan paling penting dalam kalendar masyarakat Cina iaitu Tahun Baru Cina sudah hampir tiba. Kini, seluruh Malaysia sudah pun tidak sabar untuk merasai suasana perayaan yang cukup dikenali dengan hidangan pelbagai makanan, hiasan berwarna merah serta dendangan lagu tradisi Tahun Baru Cina yang boleh didengari di kedai-kedai serta pasaraya besar.

Ada di antara mereka juga telah mula menghiasi rumah masing-masing dengan hiasan berwarna merah. Ini menandakan yang kita akan meraikan perayaan yang sangat meriah ini bersama. Saya sendiri tidak sabar untuk menikmati ‘Yee Sang’. Pada perayaan tersebut, pelbagai juadah makanan boleh dinikmati bersama. Yee Sang adalah makanan tradisi yang merupakan simbol tuah, kemakmuran serta kesihatan yang baik.

Pada saya, perayaan ini juga menunjukkan betapa pentingnya masyarakat Cina di negara kita. Ayahanda saya, Allahyarham Tun Abdul Razak, mempunyai pandangan yang sangat jelas mengenai masyarakat Cina yang banyak membantu dalam pembangunan negara sejak kita mengecapi kemerdekaan dan saya akan mewarisi wawasan beliau itu. Saya tidak boleh bayangkan sekiranya Malaysia tidak mempunyai budaya Cina yang telah sebati dalam masyarakat kita yang majmuk ini. Saya dapat rasakan yang semangat itu telah diturunkan kepada generasi seterusnya kerana anak saya sendiri, Ashman kini boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dengan fasih!

Menyedari akan hakikat itu, Kerajaan Barisan Nasional sedar akan kepentingan untuk mempunyai saluran terbuka dengan masyarakat Cina untuk memahami kehendak mereka. Menerusi laman Ah Jib Gor sahaja, kami berjaya mendapatkan pelbagai maklumat untuk diambil kira dalam Bajet 2013.

Salah satu daripada perkara yang amat penting adalah pendidikan di mana kita telah peruntukkan dana sebanyak RM100 juta dalam Bajet2013 selain peruntukkan RM100 juta untuk tahun lalu bagi pembinaan bangunan, penambahbaikan dan pengurusan sekolah jenis kebangsaan Cina. Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan negara kita juga mensasarkan untuk menambahkan jumlah guru berbahasa Cina bagi memenuhi permintaan para pelajar. Bagi pelajar cemerlang di sekolah menengah jenis kebangsaan Cina pula akan diberi biasiswa agar mereka dapat menyumbang kepada masyarakat selepas mereka tamat pengajian kelak.

Masih banyak kerja yang perlu kita fokus pada 2013 dan saya akan sentiasa memastikan yang masyarakat Cina terus dibantu. Untuk itu, saya harap, masyarakat Cina di negara ini terus memberi sokongan kepada saya untuk mencapai matlamat ini. Akhir sekali, di atas semangat 1Malaysia, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Cai kepada seluruh masyarakat Cina di negara ini.

Tags:

|
← Go back