Dasar Transformasi Negara Berjaya | 1MALAYSIA


Share:
Share on Facebook
 Blog
Dasar Transformasi Negara Berjaya
Mac 20th, 2013 by Najib Razak

Sejak mula dilantik menjadi Perdana Menteri pada 2009, saya bertekad untuk meneruskan perjuangan pemimpin-pemimpin sebelum ini yang sentiasa komited untuk memastikan Malaysia terus cemerlang hari demi hari. Sebab itulah, saya telah perkenalkan gagasan 1Malaysia yang mengamalkan prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Untuk memastikan setiap apa yang dilakukan oleh Kerajaan membuahkan hasil dan dapat memberi manfaat kepada rakyat, saya telah perkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Kedua-dua program ini diperkenalkan pada 2010 serta 2011 dan ia diwujudkan bersama-sama Program Transformasi Politik dan Program Transformasi Sosial yang membentuk Dasar Transformasi Nasional. Kesemua insiatif tersebut diperkenalkan bertujuan bagi memastikan negara mencapai matlamat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Alhamdulillah, dalam laporan tahunan GTP dan ETP yang saya bentangkan semalam, banyak kejayaan yang telah kita kecapi. Kejayaan demi kejayaan itu adalah hasil kerja keras semua pihak, daripada rakyat sehinggalah kepada pihak swasta dan penjawat awam. Kesannya, taraf dan kualiti hidup rakyat menjadi semakin baik, ekonomi negara menjadi semakin berkembang manakala kewangan negara terus kukuh hari demi hari.

Perancangan dan perlaksanaan GTP dan ETP ini bukan sahaja membuktikan iltizam Kerajaan untuk membangunkan negara, tetapi juga merupakan satu eksperimen paling berani Kerajaan dalam mengamalkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban terhadap rakyat. Melalui GTP dan ETP ini rakyat boleh menilai prestasi Kerajaan menerusi laporan tahunan dan berkala yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Kecemerlangan prestasi negara ini boleh disaksikan daripada peningkatan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita negara yang meningkat kepada AS$9,970 pada 2012 berbanding hanya AS$257 sahaja pada 1957. Ini adalah peningkatan sebanyak 4,000 peratus dalam tempoh lima dekad ini. Ia boleh diperjelaskan lagi apabila Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) negara untuk tahun 2012 meningkat kepada RM5,000 daripada hanya RM4,025 pada 2009.

Saya juga gembira kerana kadar kemiskinan negara berada pada kadar hanya 1.7 peratus pada 2012 berbanding 60 peratus di awal tempoh kemerdekaan sebelum ini. Kadar inflasi negara juga kekal berada pada paras 1.2 peratus iaitu yang terendah di rantau ini.

Selain itu, saya sangat berbangga apabila insiatif yang diperkenalkan Kerajaan berjaya mengeluarkan kira-kira 100,000 orang rakyat daripada belenggu kemiskinan. Sebanyak 100,000 unit rumah mampu milik juga didirikan agar setiap rakyat berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri. Kerajaan juga menyediakan peruntukan sebanyak RM3.78 bilion untuk membiayai subsidi untuk mengurangkan beban perbelanjaan harian rakyat.

Ini membuktikan setiap apa yang diperkenalkan Kerajaan memberi manfaat kepada rakyat di negara ini. Ia sekali gus selari dengan konsep 1Malaysia yang mahu rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan. Sebab itulah, semasa perbentangan semalam, saya turut mengumumkan yang Kerajaan akan menjadikan dan meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai inisiatif tahunan kepada rakyat.

Kesemua kejayaan itu adalah hasil daripada inisiatif Kerajaan yang bertungkus lumus memastikan setiap daripada tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berjaya dilaksanakan. Tujuh NKRA berkenaan adalah Menangani Kos Sara Hidup Rakyat, Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah, Mempertingkatkan Infrastruktur Luar Bandar, Mempertingkatkan Pencapaian Pelajar, Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar, Merujuk Inisiatif Membanteras Rasuah dan Mengurangkan Kadar Jenayah. Kesemua NKRA ini, Alhamdulillah berjaya dilaksanakan dengan baik sekali gus memberi manfaat berpanjangan kepada semua rakyat.

Dengan kecemerlangan prestasi negara itu, saya berharap rakyat dapat terus bersama-sama memberi sokongan kepada Kerajaan agar setiap apa yang dirancangkan untuk masa depan negara dapat dilaksanakan. Marilah kita bina masa depan yang gemilang untuk semua, marilah kita bina masa depan yang menjanjikan pulangan adil kepada yang bekerja keras, yang berkreativiti tinggi, yang berinovasi, dan yang sanggup mengambil risiko.Marilah kita bina sebuah Malaysia yang menjanjikan sebuah taman kebahagiaan untuk semua.

Admin: Untuk mendapat maklumat lanjut mengenai Laporan Tahunan GTP & ETP sila layari laman web Pemandu atau baca teks ucapan penuh YAB Perdana Menteri di sini. 

Tags: ,

|
← Go back