Tunjukkan sokongan anda -
Klik di sini untuk mendapatkan Kit Tindakan anda hari ini.

Share:
Share on Facebook
 Blog
Menghitung Hari Ke Pembentangan Bajet
Oktober 5th, 2011 by Najib Razak

Selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, pada minggu ini saya akan menyampaikan salah satu daripada amanat yang paling penting dalam mana-mana masyarakat demokratik, iaitu perancangan bajet bagi tahun yang akan datang.

Proses menentukan bajet ini berlatarbelakangkan kemajmukan dan kepelbagaian ekonomi di Malaysia. Tidak ada satu jawapan atau jalan penyelesaian yang sudah tersedia yang boleh digunapakai setiap kali. Pada dasarnya, kita mempunyai ekonomi yang stabil dengan pertumbuhan yang kukuh berterusan, dan pertumbuhan positif ini pula datang dengan cabarannya tersendiri: harapan dan aspirasi Rakyat yang tinggi di negara kita kerana rakyat mahu berupaya untuk merancang masa hadapan mereka dengan penuh yakin.

Inilah Malaysia, sebuah masyarakat yang sedang mengharungi arus peralihan. Kita sedang mengalami, antaranya, peningkatan jangka hayat, pembandaran yang semakin pesat dan peningkatan pada tahap dan peluang pendidikan. Perubahan sosio-ekonomi ini turut memupuk satu Malaysia yang baru, yang dipenuhi dengan cita-cita dan aspirasi yang memberangsangkan.

Inilah sesuatu yang saya anggap sebagai “masalah yang baik”, yang menunjuk ke arah hadapan, mencabar kita untuk menguji tahap keupayaan masing-masing untuk melangkaui batas ke peringkat yang lebih tinggi. Inilah yang telah terkandung dalam visi pengasas-pengasas kita terdahulu, inilah yang telah mereka perjuangkan tanpa mengira penat lelah, sebelum dipertanggungjawabkan kepada kita untuk diteruskan. Inilah tanggungjawab yang saya bertekad untuk laksanakan bersama-sama anda semua.

Matlamat 1Malaysia adalah untuk terus membina warisan pengasas kemerdekaan dan kenegaraan kita dengan meningkatkan kadar perubahan dan transformasi.

Namun dalam pada kita memacu kehadapan, kita juga perlu sentiasa menilai semula pencapaian kita dari semasa ke semasa, dan mengatur semula strategi kita agar lebih sesuai dengan keadaan terkini. Peralatan dan pendekatan yang digunakan dahulu mungkin tidak lagi relevan hari ini. Sebagaimana kita perlu menerima dasar yang baru dan sesuai mengenai keganasan dan keselamatan termasuk menggantikan ISA dengan undang-undang yang lebih selaras dengan ancaman dan isu-isu yang dihadapi masa kini, maka kita juga perlukan pendekatan ekonomi yang berdasarkan kepada realiti pertumbuhan Malaysia kearah menjadi kuasa ekonomi bertaraf pertama di dunia pada abad ke-21.

Kemerosotan ekonomi global telah memberikan kesan yang mendalam kepada negara-negara di seluruh dunia. Malaysia tidak terkecuali dalam mengalami impak kenaikan harga komoditi-komoditi sedunia dan dasar-dasar berpandangan singkat sesetengah ekonomi. Kos sara hidup yang semakin meningkat telah menjadi satu isu yang begitu serius sehinggakan Kerajaan telah mengambil tindakan untuk memperkenalkan NKRA ke-tujuh bagi menangani masalah ini.

Saya sedar bahawa di Malaysia, kumpulan yang paling merasai impak dari isu ini adalah antara yang paling gigih bekerja.

Telah menjadi keutamaan saya untuk keluar bertemu dengan seberapa ramai mungkin rakyat Malaysia. Sepanjang dua tahun tujuh bulan ini, saya telah mendengar luahan hati pelbagai rakyat Malaysia. Mereka telah bercerita kepada saya bagaimana dengan gaji yang mereka terima, sukarnya untuk menabung untuk membeli rumah, atau untuk mendapatkan pendidikan terbaik bagi anak-anak mereka, atau untuk menampung keluarga dan orang tua mereka. Rintihan ini diceritakan kepada saya oleh pelbagai rakyat yang saya temui, dan ia menguatkan lagi azam saya untuk melaksanakan tanggungjawab saya dalam membuat keputusan yang terbaik untuk Rakyat.

Namun begitu, ada satu perkara harus diperjelaskan: masalah-masalah ini tidak boleh diselesaikan dengan serta-merta, dan tidak akan lenyap sepenuhnya. Saya tidak mahu menjanjikan sesuatu yang tidak mampu dilaksanakan oleh mana-mana individu. Biarpun ada pihak yang cuba meyakinkan anda dengan sesuatu usul, namun mereka tidak pula menjelaskan apa kesan keseluruhannya terhadap anda.

Adalah menjadi kewajipan bagi seseorang pemimpin untuk memilih keputusan yang terbaik bagi kepentingan orang ramai. Kerapkali juga keputusan itu terpaksa melepaskan kesenangan jangka pendek demi kemakmuran jangka panjang.

Saya tidak akan menjanjikan penyelesaian yang serta merta, tetapi saya akan berusaha untuk memastikan asas-asas kepada dasar yang ada adalah betul untuk memelihara pertumbuhan ekonomi – yang kini berada di paras yang diidamkan oleh negara-negara lain yang lebih maju – untuk mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pertumbuhan sektor pekerjaan, dan untuk memastikan bahawa kita mempunyai dasar-dasar pekerjaan yang mengiktiraf perubahan realiti di Malaysia, terutama faktor jangka hayat yang meningkat.

Rakyat Malaysia yang saya temui rata-ratanya faham apabila saya menyatakan perkara-perkara sebegini. Mereka juga faham bahawa saya akan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada Rakyat dengan penuh integriti dan pada masa yang sama, akan sentiasa menegakkan prinsip-prinsip 1Malaysia. Mereka faham bahawa sepanjang perjalanan kita ini, mereka digalakkan untuk berhubung dengan saya secara terus dan menyuarakan terus kepada saya tentang bagaimana dasar-dasar yang telah saya laksanakan mempengaruhi kehidupan mereka. Mereka faham, dan saya pasti anda juga begitu.

Dalam persediaan bajet ini, saya dan Kerajaan turut menjemput orang ramai untuk mengemukakan cadangan-cadangan mengenai bajet kepada Kerajaan. Ratusan cadangan telah diterima daripada rakyat Malaysia dan organisasi-organisasi perwakilan dan saya gembira dengan perkembangan ini, walaupun terpaksa mempertimbangkan setiap cadangan yang dikemukakan. Pendekatan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, bukanlah satu slogan, tetapi ia adalah mengenai nilai-nilai murni, termasuklah menilai cadangan yang dibuat oleh orang ramai.

Menyusuli pembentangan bajet Jumaat ini, Kerajaan akan meneruskan langkah untuk menjelaskan keputusan-keputusan ini kepada anda semua dan kesannya kepada semua rakyat Malaysia. Di samping itu saya akan menulis susulan kepada blog ini mengenai bajet tersebut.

Saya harap anda akan kembali untuk membaca, berkongsi dan memberi maklum balas sama ada di laman web saya ini, di Facebook, mahupun di Twitter. Inilah peluang kita untuk memainkan peranan dalam membentuk ekonomi negara bersama sebagai 1Malaysia.

Tags: , , , , , ,

|
blog comments powered by Disqus