| Share: |

Satu harapan saya untuk masa hadapan Malaysia ialah agar kita semua berhenti daripada asyik memikirkan tentang naik-turun mana-mana golongan atau negeri, sebaliknya kita menumpukan perhatian kepada kepentingan masa hadapan Malaysia.
Saya tidak maksudkan bahawa kita harus mengabaikan dasar menjamin perkongsian hasil pertumbuhan ekonomi kita secara adil di kalangan semua rakyat Malaysia, atau bahawa kita harus memperbetulkan ketidakseimbangan berdasarkan sejarah. Apa yang saya maksudkan adalah bahawa kita tidak harus menganggap bahawa dasar-dasar yang telah diwujudkan bagi tujuan tersebut tidak mengambil kira kepentingan semua rakyat Malaysia.
Pada hari Ahad, 9 Oktober lalu, saya telah keluar bersarapan pagi dengan isteri dan anak perempuan saya di Restoran Village Park di Uptown Damansara Utama. Saya ke sana bukan untuk tarikan media, tetapi kerana saya mahu mencuba tempat-tempat makan popular di Lembah Klang ini dan juga kerana saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mendengar pandangan orang ramai.
Apabila bertemu dengan Rakyat dalam keadaan yang tidak formal sebegitu, saya dapati pandangan dan permasalahan yang disuarakan oleh mereka selalunya berbeza dengan isu-isu yang dibangkitkan di Parlimen. Di Parlimen, penekanan kepada “point scoring” sering mengetengahkan isu-isu remeh yang sebenarnya tidak membawa manfaat Rakyat samada di Bandar atau di kampung-kampung.
Saya dapati Rakyat jelas mengenai perkara-perkara yang penting bagi mereka. Mereka bimbang mengenai kesan ketidaktentuan ekonomi global ke atas kos kehidupan. Mereka bekerja keras untuk memberikan yang terbaik untuk kehidupan anak-anak mereka dan mereka ingin tahu apa lagi yang mereka boleh mereka lakukan untuk membantu anak-anak mereka menempuhi dunia yang pantas berubah ini. Melihat bagaimana generasi kita yang lebih tua menikmati jangkahayat yang lebih panjang dan kesihatan yang lebih baik, mereka juga prihatin terhadap beban yang bakal mereka tanggungi kelak dan bagaimana mereka boleh membantu ibu bapa mereka untuk hidup berdikari dan gembira untuk selama yang boleh.
Sayangnya, isu-isu daripada perspektif sebegini tidak menjadi tumpuan di Parlimen. Mungkin ahli politik akan lebih dihormati jika kita berbuat demikian. Mungkin sesetengah ahli politik hanya mahir beroperasi dengan memporak-perandakan negara, dan mengfokuskan kepada apa-apa isu remeh yang boleh menaikkan nama mereka. Itu hak mereka. Dalam demokrasi, ahli-ahli politik berhak “membuka kedai” mereka untuk para pengundi membuat pilihan.
Walau apa pun, saya harap Bajet 2012 ini dapat menjelaskan kepada Rakyat bahawa Kerajaan mendengar luahan mereka mengenai isu-isu yang penting. Bajet ini bukanlah hanya sekadar untuk menghulurkan bantuan, seperti apa yang telah dikatakan oleh sesetengah pihak. Tujuan sebenar Bajet ini adalah untuk mengurangkan tahap pinjaman Kerajaan.
Sasaran Bajet ini adalah untuk membantu kumpulan-kumpulan yang paling memerlukan, termasuk keluarga yang berpendapatan rendah, pelajar-pelajar sekolah dan pelajar-pelajar tingkatan enam serta mahasiswa universiti, Juga bagi kawasan luar bandar yang berhak menerima hasil dari kekukuhan ekonomi kita.
Pada dasarnya, Bajet ini adalah untuk masa hadapan Malaysia. Saya telah mengumumkan peluang-peluang baru untuk pelaburan asing, pembaharuan yang besar bagi perkhidmatan awam dan perkongsian baru dengan sektor swasta dalam membangunkan infrastruktur kita.
Mereka yang telah saya temui sewaktu sarapan pagi Ahad itu ternyata amat senang dengan rancangan Bajet saya. Tetapi mereka juga mahu yakin akan perlaksanaannya. Dalam politik, janji mudah dibuat, tetapi paling sukar ditepati. Saya telah menjelaskan kepada pejabat saya, kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan bahawa perlaksanaan adalah kunci kepada kejayaan dan keharmonian untuk rakyat.
Namun begitu, ikrar saya kepada mereka yang telah saya temui pada Ahad itu, dan kepada anda semua adalah walau apapun rintangan yang datang mengganggu, saya akan tetap fokus untuk melaksanakan tranformasi yang amat diperlukan oleh Malaysia ini.
Tags: Budget 2012, Government