Tunjukkan sokongan anda -
Klik di sini untuk mendapatkan Kit Tindakan anda hari ini.

Share:
Share on Facebook
 Blog
Bajet Oleh Rakyat
Oktober 14th, 2010 by Najib Razak

Insya-Allah, Jumaat ini saya akan membentangkan Bajet Negara 2011 di Parlimen. Matlamat bajet ini adalah untuk menetapkan rentak mentransformasikan Malaysia supaya menjadi sebuah negara maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Seperti juga tahun lepas, saya telah mempelawa rakyat Malaysia untuk menyatakan harapan mereka berhubung bajet dengan mengemukakan komen dalam blog saya. Dalam tempoh kurang dari dua minggu sahaja, lebih daripada seribu komen telah diberikan oleh Rakyat dengan sumbangan cadangan dan buah fikiran untuk  bajet Negara 2011. Saya sendiri telah membaca semua komen ini dan telah mengemukakan sebahagian besar daripadanya kepada Kementerian Kewangan untuk penelitian lanjut dan kemungkinan menggabungkannya dalam bajet atau program-program kerajaan yang lain.

Daripada begitu banyak  topik yang dibangkitkan, saya perhatikan perkara-perkara yang berkaitan dengan pekerjaan merupakan yang paling kerap dibincangkan dengan sebahagian daripada anda meminta supaya penetapan gaji minimum dilaksanakan.  Satu topik popular lagi yang dibincangkan ialah cukai dan subsidi. Komen-komen yang datang dari golongan belia meminta rebat cukai dinaikkan untuk mereka yang berkeluarga atau kaedah menyalurkan bantuan kewangan bagi menguruskan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Perkara ketiga yang paling popular ialah pendidikan, yang mana pelbagai kegusaran tentang kualiti pendidikan dan kos pendidikan yang semakin meningkat diutarakan.

Terdapat juga komen-komen yang meminta peruntukan tambahan untuk menaik taraf perkhidmatan internet dan jalur lebar di seluruh negara. Saya juga perhatikan terdapat beberapa cadangan yang mengkhususkan kepada isu-isu di negeri Sabah dan Sarawak.

Permintaan adalah untuk peningkatan insentif-insentif dan program-program kepada mereka yang kurang bernasib baik, kawalan ke atas harga barangan pengguna, peningkatan pembangunan di kawasan-kawasan pedalaman untuk menarik peluang-peluang komersial kepada golongan muda, insentif-insentif untuk pembangunan teknologi hijau, peningkatan peruntukan untuk keselamatan negara dan program-program untuk mengatasi pendatang tanpa izin serta pelbagai cadangan yang lain.

Pejabat saya dan saya sendiri telah mengkaji cadangan-cadangan ini dan merancang untuk meneliti dengan lebih mendalam cadangan yang berdaya maju untuk dilaksanakan, tanpa mengira sama ada dimasukkan ke dalam bajet atau pun tidak. Anda yang telah memberikan komen dalam blog saya akan dapat mengenali  idea anda, atau gabungan buah fikiran anda dalam bajet ini. Hanya dengan penyertaan semudah ini, anda telah dapat menyumbang kepada proses mentransformasikan negara kita. Terima kasih atas input dan sokongan anda, dan marilah kita meneruskan usaha ini, demi negara kita!

Tags:

|
blog comments powered by Disqus